LUMUT: Mayat tiga wanita dan seorang lelaki tanpa identiti ditemukan terapung di kedudukan 14.2 batu nautika barat Pulau Buloh, Pulau Sembilan dekat Bagan Datuk, hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman, berkata maklumat penemuan empat mayat berkenaan diterima daripada komuniti maritim pada jam 9.05 pagi.
Beliau berkata, susulan itu pihaknya mengarahkan Kapal Maritim (KM) Nyalau yang melaksanakan rutin rondaan ke lokasi sebelum menemui mayat berkenaan pada jam 2.08 petang.
“Mayat berkenaan membabitkan tiga wanita dan seorang lelaki. Sehingga kini, Maritim Malaysia tidak menerima sebarang aduan berkenaan orang jatuh laut mahupun permohonan bantuan perubatan di laut berdasarkan penemuan mayat terbabit.
“Namun, kita tidak menolak kemungkinan kejadian ini berkait dengan unsur jenayah di laut dan siasatan lanjut akan dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mayat berkenaan dibawa ke Jeti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kampung Acheh, Sitiawan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
BHonline-
