MIAMI: Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) semalam memantau puluhan kapal persiaran yang terjejas kes jangkitan COVID-19 dengan beberapa kapal terbabit dilaporkan tidak dibenarkan berlabuh di pulau Caribbean.
Lebih 60 kapal diletakkan di bawah pemantauan berikutan “kes yang dilaporkan COVID-19 mencapai tahap diperlukan siasatan CDC,” menurut Pusat bagi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC).
Akhbar Washington Post melaporkan, beberapa kapal persiaran tidak dibenarkan berlabuh di destinasi seperti yang dijadualkan.
Awal minggu ini, 55 orang di atas kapal persiaran Odyssey of the Seas, milik Royal Caribbean disahkan positif COVID-19 dan merebak dalam kalangan penumpang dan anak kapal meskipun 95 peratus daripada mereka sudah lengkap divaksin, menurut syarikat itu.
Sebagai langkah berjaga-jaga, kapal persiaran itu tidak berlabuh di pulau Curacao dan Aruba di Caribbean, perhentian terakhir dalam pelayarannya selama lapan hari sebelum kapal itu kembali ke pelabuhan Fort Lauderdale, Florida semalam.
Sebuah lagi kapal persiaran, Carnival Freedom, dilaporkan dilarang berlabuh di pulau Bonaire, di Caribbean, lapor Washington Post lagi.
Dalam kenyataannya kepada AFP, Carnival mengesahkan “sejumlah kecil penumpangnya diasingkan kerana terdapat kes diuji positif COVID-19.”
“Penularan pantas varian Omicron mungkin mempengaruhi bagaimana pihak berkuasa beberapa destinasi dengan sumber perubatan yang terhad, menerima kapal persiaran meskipun dengan jumlah kes yang kecil,” kata syarikat itu tanpa memberi butiran lanjut.
Kapal persiaran Carnival Freedom tiba di Miami pagi semalam dan menurunkan kesemua penumpangnya. Ia kemudian “berlayar ke destinasi seterusnya seperti dirancang” kata syarikat itu.
Tambahnya, ia akan “mencari destinasi lain” jika dilarang berlabuh di pelabuhan-pelabuhan tertentu dan CDC “sudah dimaklumkan dan menyokong protokol dan rancangan operasi kami”.
BHonline-

