BUTTERWORTH : Seorang pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret (Munisipal) di sini hari ini, selepas mengaku bersalah memindahkan 21 ekor lembu hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
Tertuduh, Mohd Aidil Abdul Halim, 40 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Farah Hazwani Osman.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memindahkan 21 ekor lembu menggunakan lori bernombor pendaftaran DCD9845 tanpa mendapat kebenaran bertulis Pengarah Negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Seberang Perai Selatan di sini, pada jam 10.07 malam pada 29 Januari lalu.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 36(7) akta sama yang membawa denda maksimum RM15,000.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar Negeri, Roziman Awang Tahrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Ketika prosiding, Mohd Aidil bangun memohon kepada mahkamah supaya dapat meringankan hukuman denda memandangkan dia perlu menyara keluarga termasuk ibu bapa dan perlu membayar insurans serta pinjaman rumah.
Mohd Aidil juga merayu supaya lori miliknya dapat dipulangkan kerana dia memerlukan kenderaan itu untuk mencari rezeki.
Noor Farah Hazwani kemudian menetapkan hukuman denda RM2,000 dan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.
Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan ternakan sebanyak RM7,200 dilucuthak. Tertuduh membayar denda yang dikenakan.
-Berita Harian