PUTRAJAYA – Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) menyasarkan 10 peratus daripada populasi negara akan memperoleh vaksinasi penuh menjelang pertengahan Julai ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata sebanyak lapan juta dos vaksin akan diberikan menjelang akhir bulan ini dan berharap jumlah pemberian dos akan meningkat kepada 10.7 juta menjelang pertengahan Julai nanti.
Beliau berkata, bagi mencapai sasaran itu, kerajaan akan menggiatkan pemberian vaksin harian.
“Berdasarkan kepada sasaran, dengan mengambil kira bekalan vaksin dan kapasiti pusat pemberian vaksin (PPV), kami menjangka dapat mencapai 10 peratus pelalian penuh menjelang pertengahan Julai ini.
“Ketika ini, bagi setiap 100 dos diberikan, 30 dos adalah dos kedua. Bagi memastikan 10 peratus daripada populasi atau 3.2 juta penduduk menerima imunisasi, kita perlu memberikan vaksin terhadap 10.7 juta dos,” katanya pada sidang media mingguan CITF, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

