JOHOR BAHRU – “Kita selesaikan dahulu mereka yang nak dapatkan vaksin, selepas itu kita ‘tackle’ (tangani) antivaksin,” tegas Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin.
Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, kerajaan sedang memberi tumpuan bagi mempercepatkan PICK dengan menyasarkan lebih ramai penerima vaksin.
“Ada ramai nak vaksin yang belum lagi dapat diberikan vaksin. Jadi kita selesaikan dahulu yang nak vaksin, kemudian (kita tangani isu) yang enggan terima vaksin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 Pusat Konvensyen Antarabangsa Johor Bahru (PERSADA), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Ditanya mengenai langkah kerajaan mengkaji mengenakan tindakan undang-undang ke atas golongan antivaksin yang menghasut orang ramai untuk tidak menyokong PICK, Khairy berkata, belum ada tindakan undang-undang terhadap kelompok berkenaan.
“Belum ada lagi (tindakan undang-undang dikenakan kepada antivaksin yang menghasut),” katanya.
Khairy berkata, pengoperasian PPV yang memasuki hari kedua di PERSADA Johor mendapati ia selesa menampung janji temu seramai 1,000 orang.
“Pada khamis ini, ia akan meningkatkan kapasiti kepada 3,000 penerima vaksin dan saya melihat berdasarkan kepada laporan daripada pengurus PPV mereka yakin bahawa apabila ditingkatkan kepada 3,000 masih lagi selesa kepada penerima.
“Kita sudah bincang tadi dengan Menteri Besar mengenai keperluan untuk menambah lagi PPV kerana Johor sekarang purata 14,000 penerima vaksin sehari, pada September nanti kita perlu tingkatkan 50,000 sehari di Johor sahaja.
“Ini kita hanya dapat buat dengan penambahan PPV termasuk klinik-klinik GP (klinik perubatan am swasta,” katanya. – BH Online

