KUALA LUMPUR – Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian seluruh negara terus menunjukkan penurunan bagi tempoh lima hari berturut-turut dengan setakat semalam, berada pada tahap 0.97.
Kadar itu turun berbanding tahap 0.99 yang direkodkan pada Ahad, manakala pada Sabtu dan Jumaat lalu masing-masing merekodkan tahap 1.00 dan 1.03.
Data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebooknya, menunjukkan penurunan itu paling rendah sejak nilai tertinggi direkodkan untuk tahun ini iaitu 1.21 pada 23 Mei diikuti kadar 1.20 pada dua hari selepasnya.

Berdasarkan data terbabit, sembilan negeri merekodkan bacaan Rt melebihi 1.00 atau lebih tinggi dari Rt kebangsaan, dengan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.26.
Ia kemudian diikuti beberapa lagi negeri antaranya Negeri Sembilan (1.17), Sabah (1.16), Kuala Lumpur dan Sarawak (1.04), Melaka dan Selangor (1.03) serta Johor dan Perak pada tahap 1.01.
Rt terendah pula direkodkan di Perlis iaitu pada tahap 0.92 diikuti 0.93 di Putrajaya.
Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.
Semakin rendah nilai itu, semakin kurang kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.
Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain. – BH Online

