KUALA BERANG – Perbezaan dialek dituturkan penduduk di setiap negeri dan daerah antara keunikan budaya warisan di negara ini.
Namun, kewujudan lebih 30 dialek berbeza di Daerah Hulu Terengganu menjadi sangat unik, malah ia jarang-jarang berlaku.
Hayati Ahmad, 46, seorang guru yang terbabit dalam usaha mempertahankan dialek Hulu Terengganu berkata, kebanyakan kampung di Hulu Terengganu mempunyai dialek berbeza walaupun jaraknya berdekatan antara satu sama lain dan ada antaranya tidak sampai satu kilometer.
“Keunikan dialek ini terletak pada kepelbagaian cara sebutan dan perkataan digunakan setiap kampung di daerah ini.
“Malah, beza perkataan dituturkan sangat banyak dan tidak terkira. Di sesetengah kampung, sebutannya lebih lembut, ada yang kasar, malah ada yang lebih meleret.
“Contohnya perkataan ulu. Kalau orang Kuala Berang, mereka sebut ‘ulu’, kalau di Kampung Tengkawang kami sebut ‘ulou’. Kampung Nibong pula ‘uluk’ dan di Kampung Baung sebutannya ‘olou’ yang agak lembut daripada yang lain.
“Cara sebutan ini terpakai untuk semua perkataan berakhir dengan huruf u,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Hayati yang juga guru Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Berang, di sini, mengakui tidak ramai penduduk daerah Hulu Terengganu yang boleh membezakan cara sebutan di setiap kampung itu.
Beliau berkata, misalnya penduduk kampung A ada kalanya tidak faham sebutan penduduk kampung B dan situasi itu berlaku kerana ada kalanya terdapat perbezaan perkataan sangat ketara untuk merujuk benda sama.
“Contohnya, serangga pepatung di Kampung Tengkawang, kami sebut ‘ca’i’ sedangkan di Kampung Pauh sebutannya ‘klica’ manakala di kampung lain pula ada memanggil pepatung sebagai ‘ssibu’ dan ‘ciibi’.
“Ini sangat menyukarkan terutama generasi muda untuk memahaminya,” katanya.
Ibu kepada lima anak itu berkata, faktor perbezaan penggunaan dialek di setiap kampung mungkin terletak pada perhubungan orang zaman dahulu yang banyak bergaul sesama mereka sahaja menyebabkan golongan itu tidak terdedah kepada asimilasi bahasa walaupun mereka tinggal di daerah sama.
Beliau berkata, disebabkan pergaulan kian meluas dan era pemodenan semakin pantas, dialek Hulu Terengganu kini diancam kepupusan apabila semakin kurang penduduk yang menggunakannya dalam percakapan seharian.
Hayati berkata, generasi muda di Hulu Terengganu kebanyakannya masih boleh memahami pertuturan dalam dialek itu, namun hanya segelintir sahaja boleh berkomunikasi dua hala dalam dialek itu dengan fasih dan lancar.
Menyedari dialek unik ini diancam kepupusan, beliau yang mesra dikenali sebagai Cikgu Yati telah mengambil beberapa inisiatif untuk mempertahankannya dengan cara memperkenalkannya kepada masyarakat umum.
“Saya memang selalu buat persembahan sajak atau pantun dalam dialek Hulu Terengganu di sekolah. Namun, ada satu video persembahan saya tular di media sosial menyebabkan makin ramai tertarik dengan keunikan dialek ini.
“Sejak 2016, saya banyak dijemput untuk membuat persembahan seperti di ekspo dianjurkan kerajaan negeri Terengganu serta sebagai tetamu undangan di Radio Terengganu sejak 2019 melalui segmen, ‘Guana Gamok Orang Kiter’,” katanya.
Beliau turut terbabit dalam membantu mengusahakan Glosari Dialek Hulu Terengganu, satu projek mendokumentasikan dialek itu, hasil usaha sebuah jawatankuasa yang dibentuk di bawah naungan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.
“Harapan saya agar generasi muda teruskanlah mencintai dialek warisan nenek moyang kita ini dan mesti berbangga dengannya kerana itu adalah identiti kita yang perlu dipertahankan agar tidak hilang ditelan arus kemodenan,” katanya. – BERNAMA

