PUTRAJAYA – Semua negeri menunjukkan perkembangan baik dengan kadar kebolehjangkitan (Rt) kurang daripada 1 seperti diunjurkan Kementerian Kesihatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia dapat dilihat apabila kes harian COVID-19 menunjukkan penurunan.
“Nilai Rt di seluruh negara ialah 0.88, manakala di Selangor mencatatkan nilai Rt 0.89 dan Sabah pula kini menunjukkan penurunan iaitu 0.77. Kita sasarkan Sabah dapat mencapai nilai Rt 0.5.
“Labuan pula nilai Rt sudah mencecah 0.59 dan ini adalah perkembangan yang baik. Diharapkan Labuan dapat kekalkan nilai kebolehjangkitan pada paras berkenaan.
“Di Putrajaya nilai Rt adalah 0.79, diikuti Terengganu iaitu 0.88,” katanya dalam sidang media COVID-19 di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Dr Noor Hisham meminta orang ramai kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rantaian COVID-19. – BH Online

