KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan air sebanyak dua kali di beberapa kawasan di Petaling, Hulu Langat dan Sepang akibat pencemaran di Sungai Semenyih baru-baru ini berulang lagi semalam.
Operasi loji rawatan Sungai Semenyih terpaksa ditutup sekali lagi bermula pukul 5 petang semalam selepas operasi loji tersebut ditutup pada 15 Februari dan 3 Mac lalu akibat pencemaran itu.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS), Priscilla Alfred berkata, penutupan terbaru itu menjejaskan bekalan air kepada lebih 400,000 buah rumah.
“Antara kawasan terjejas adalah 135,000 pintu rumah di 39 kawasan di Petaling, Hulu Langat (209 kawasan, 123,368 pintu rumah), Kuala Langat (72 kawasan, 45,029 pintu rumah) dan Sepang (86 kawasan, 104,282 pintu rumah),” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.
Priscilla bagaimanapun memaklumkan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan loji rawatan air tersebut sudah beroperasi semula pukul 9:30 malam tadi.
Namun katanya, pemulihan bekalan air masih belum berlaku sehingga pukul tengah malam tadi kerana bekalan air terawat masih belum disalurkan semula oleh loji rawatan air tersebut.
Sehubungan itu, katanya, sebanyak 49 buah lori tangki air digerakkan oleh pihak SYABAS bermula malam tadi bagi menghantar bantuan bekalan air kecemasan kepada mereka yang memerlukan. – mynewshub.cc

