KUALA LUMPUR – Laluan keluar dan masuk ke kediaman Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah di Jalan Eaton off Jalan Tun Razak, dikawal sepenuhnya pihak polis.
Tindakan itu bagi memastikan pergerakan masuk dan keluar menuju ke kediaman Allahyarhamah, balu kepada bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, bergerak lancar.
Sejak jam 6.45 petang tadi, pihak polis memasang halangan di laluan masuk dari Jalan Tun Razak serta Jalan Kia Peng, di sini.
Jenazah ibu kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu dibawa pulang ke kediamannya selepas menghembuskan nafas yang terakhir di sebuah pusat perubatan swasta di sini, petang tadi.
Allahyarhamah akan dibawa ke Masjid Ar-Rahah, di sini esok untuk pengurusan jenazah sebelum dikebumikan di Masjid Negara. – BH Online