KUALA LUMPUR – Seramai 32 warga asing penghuni flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, di sini, yang disyaki positif COVID-19, dibawa keluar dari kawasan berkenaan.
Kesemua mereka dibawa menaiki sebuah bas keluar dari kawasan Jalan Bonus, diiringi pihak polis dan sebuah ambulans.
Mereka dilihat dipindahkan dari kediaman masing-masing bermula jam 12.50 tengahari tadi sebelum diarahkan menaiki bas seorang demi seorang.
Bas dinaiki semua warga asing berkenaan dilihat keluar dari kawasan itu pada jam 3 petang.
Tinjauan mendapati, anggota keselamatan kini mengawal ketat kedua-dua bangunan berkenaan sejak diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sejak Selasa lalu.
Orang ramai yang ingin menghantar makanan kepada penghuni dua flat berkenaan turut diminta balik dan datang kembali selepas urusan pemindahan selesai.
Semua yang positif itu dikesan selepas menjalani proses saringan sejak dua hari lalu dan dipercayai sudah menerima keputusan makmal.
Terdahulu, bas dari Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, itu dilihat masuk ke jalan Masjid India menuju ke kedua-dua bangunan itu pada jam 11.45 pagi.
Turut kelihatan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memakai sut peralatan perlindungan diri (PPE) naik ke atas bas.
Turut dilakukan sewaktu ketibaan bas berkenaan adalah proses sanitasi diatas jalan berhampiran kawasan bas diparkir.
Di kawasan berhampiran satu lagi kondominium iaitu Plaza City One, turut sudah menjalani arahan PKPD sejak 31 Mac lalu.
Arahan PKPD itu dilakukan berikutan terdapat 15 kes positif jangkitan COVID-19 di kedua-dua bangunan itu. – BH Online

