KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan air di beberapa kawasan di Petaling, Kuala Langat dan Sepang akibat penutupan sementara Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih kelmarin kerana pencemaran air mentah dijangka pulih sepenuhnya pagi esok.
Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS), Priscilla Alfred berkata, kawasan yang terjejas di Hulu Langat pula dijangka pulih sepenuhnya pada pagi 6 Mac 2015.
“Pemulihan bekalan air di sebahagian besar kawasan pengguna yang terjejas masih terus berjalan. Sehingga pukul 2 petang hari ini, 72 peratus daripada 475,219 rumah yang terjejas bekalan air telah pulih,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Priscilla berkata, orang ramai yang mahu mendapatkan
perincian status pemulihan bekalan air mengikut kawasan disaran mengakses laman web www.syabas.com.my.
Menurutnya, orang ramai boleh juga berbuat demikian melalui aplikasi telefon pintar mySYABAS yang boleh dimuat turun menggunakan Google Playstore dan Appstore dan juga Portal Pengguna SYABAS.
“Status pemulihan bekalan air ini akan dikemaskinikan setiap dua jam sehingga bekalan air di semua kawasan pulih sepenuhnya,” kata beliau. – mynewshub.cc

