JOHOR BAHRU – Polis menahan 11 individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian tembakan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya pada Isnin lepas.
Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua mereka ditahan di sekitar kawasan Nusajaya oleh pasukan khas yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Hasnan Hassan.
“Kesemua individu itu berumur antara 35 dan 56 tahun. Polis sedang menyiasat pelbagai sudut mengenai kes itu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.
Mohd Mokhtar berkata siasatan mendapati lima das tembakan dilepaskan dalam kejadian itu dan motif sebenar kejadian juga masih disiasat.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, suspek yang dikatakan menaiki sebuah kereta melepaskan beberapa das tembakan disasarkan kepada seorang individu yang menaiki sebuah kereta lain.
Terdahulu, mangsa yang berusia 30-an, melarikan diri setelah diacu pistol ke arahnya oleh suspek di sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Danga di sini.
Mangsa melarikan diri ke arah IPD Nusajaya di Taman Nusa Bestari di sini sebelum suspek melepaskan tembakan akan ke arahnya, namun ia tersasar dan terkena dinding bangunan IPD Nusajaya.
Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Muar selepas menahan tiga lelaki dan merampas lima ketulan mampat dadah dipercayai ganja bernilai RM50,000 pada Isnin lepas.
Beliau berkata serbuan 11.45 malam oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Muar di Parit Yusuf dilakukan hasil risikan.
Dadah seberat lima kilogram itu dipercayai dapat digunakan seramai 10,000 penagih, dan polis turut merampas sebuah kereta dan wang tunai sebanyak RM3,950 daripada mereka yang dipercayai hasil pengedaran dadah.
“Kesemua lelaki itu berusia antara 40 dan 50 tahun dengan dua daripadanya positif ganja manakala seorang daripada mereka juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah,” katanya.
Kesemua mereka ditahan reman hingga Ahad ini untuk membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

