KUALA LUMPUR – Parlimen sekali lagi melakar sejarah dengan tertubuhnya sebuah Kaukus Dewan Negara iaitu yang pertama di negara ini.
Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S A Vigneswaran, berkata penubuhan kaukus itu dipersetujui Jawatankuasa Pemilih Dewan Negara secara sebulat suara.
“Sukacita ingin saya memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pemilih Dewan Negara bermesyuarat pada Khamis lalu dan sebulat suara bersetuju bagi membentuk sebuah kaukus Dewan Negara seperti mana yang dilaporkan melalui kertas dewan DN2/2019 Penyata khas Jawatankuasa Pemilih Dewan Negara yang telah saya perintahkan untuk dibentangkan di meja mesyuarat pada hari ini.
“Semoga semua ahli kaukus dapat menjalankan amanah yang diberikan dengan baik,” katanya ketika persidangan Dewan Negara dimulakan pagi ini.
Keahlian kaukus terdiri daripada 13 ahli senator iaitu Mohd Yusmadi Mohd Yusoff, Datuk Paul Igai, Datuk Ismail Yusop, Datuk Razali Idris, Nga Hock Cheh, Datuk Theodore Douglas Lind, Datuk Ismail Ibrahim, Datuk Dr S Ananthan, Datuk Lee Tian Sing, Asmak Husin, Raj Munni Sabu, Adrian Lasimbang dan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.
Sementara itu, Mohd Yusmadi berkata, mesyuarat pertama Kaukus Dewan Negara dijangka dapat dibuat pada sesi Dewan Negara kali ini bagi melantik jawatan tetap pengerusi kaukus itu.
Secara lazimnya, katanya, kaukus berkenaan boleh berfungsi sebagai platform untuk ahli Parlimen mahupun senator untuk mencadangkan dan memperhalusi sesuatu isu seperti perkara yang membabitkan kepentingan awam.
“Penubuhan kaukus ini dicadangkan oleh Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara. Kami mewakili rakan senator dari pelbagai latar belakang selama ini telah berusaha ke arah reformasi Parlimen dalam konteks Dewan Negara.
“Platform ini diiktiraf di bawah amalan Parlimen serta di peringkat antarabangsa. Agenda pemerkasaan dan reformasi Parlimen oleh kerajaan ternyata berhasil dan dapat berjalan seiring,” katanya.
Ismail Yusop pula berkata kaukus itu adalah hasil usaha kesinambungan rakan senator terdahulu yang telah tamat perkhidmatan serta memberikan komitmen yang baik.

