PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan dengan Presiden Majlis Pertubuhan Menteri-Menteri Pelajaran Asia Tenggara (SEAMEO) Prof Dr Pham Vu Luan di sini.
Turut hadir dalam pertemuan sejam bersama Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan ialah Pengarah Sekretariat SEAMEO Dr Witaya Jeradechakul. Antara lain, mereka membincangkan program dan aktiviti SEAMEO semasa dan terdahulu.
Vu Luan yang juga Menteri Pendidikan dan Latihan Vietnam berada di Malaysia selama empat hari mulai semalam.
Kunjungan Vu Luan ke Malaysia adalah lawatan kerja yang lazim dilakukan Presiden SEAMEO ke semua negara anggota pertubuhan itu.
Ia bertujuan memperkukuh hubungan negara anggota dengan pertubuhan itu selain memantau pelaksanaan keputusan Majlis SEAMEO yang berhubung kait dengan program dan aktiviti tahunan masing-masing.
Kunjungan Vu Luan ke Malaysia dapat meningkatkan imej negara dalam kalangan negara anggota SEAMEO dan dunia amnya selaras dengan dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan dalam bidang pendidikan di rantau ini.
Malaysia menganggotai SEAMEO sejak ia mula ditubuhkan pada 1965 yang bermatlamat menggalakkan kerjasama dalam bidang pendidikan, sains dan kebudayaan dalam kalangan negara Asia Tenggara. – BERNAMA

