KUALA LUMPUR – Sebab utama Nafas tewas dalam tender terbuka pembekalan baja ialah kerana ia membuat tawaran 20 peratus lebih tinggi pada pembekal lain.
Hal itu didedahkan oleh sumber kepada Mynewshub yang berkata jumlah itu terlalu tinggi bezanya dengan pihak yang asalnya memenangi tender berkenaan.
Katanya, dari segi lojik tender terbuka, memang Nafas tidak layak sama sekali dianugerahkan tender berkenaan.
“Lebih 20 peratus pada harga RM1.4 bilion sudah berapa?
“Mahu tak kenyang orang-orang….?” katanya.
Jelas sumber itu, Nafas sudah 23 tahun membekalkan baja dan tewas dalam proses tender terbuka bila harga yang diberikan tidak kompetetif dengan pembida lain.
Jelas beliau, proses tender telah dilakukan secara terbuka dan telus mengikut prosedur yang ditetapkan.
“Sekarang kerajaan hendak buat tender terbuka atau hendak buat rundingan terus, semua kementerian sedang keliru.
“Dalam manifesto janji berdetar-detar hendak buat semuanya tender terbuka, bila pegawai kementerian ikut, dituduh sabotaj pula,” keluhnya.
Sumber berkenaan mengulas laporan media berhubung dakwaan seorang pemimpin parti Amanah bahawa Menteri Pertanian, Salahuddin Ayob disabotaj oleh Ketua Setiausaha Kementerian itu. – Mynewshub.TV

