KOTA KINABALU – Seramai 10 warden, termasuk seorang pegawai, dituduh di Mahkamah Majistret semalam atas dakwaan membunuh banduan di penjara pusat di sini.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati.
Pertuduhan dibacakan di depan Majistret Lovely Natasha Charles. Mereka ialah Mohd Saiful Saidin, Amran Yasik, Ab Mutalib @ Talib Abd Rasul, Zerry Maidin, Tomy Momoh, Barry Jipmon, Mohd Dzulfikri Mohd Safri, Farizan Mokri, Shahryll Nazry Wan Sofian dan Muhammad Fazi Lakui.
Mereka yang berusia antara 25 dan 40 tahun itu didakwa secara bersama membunuh Shainal Mukhtar, 36, di Penjara Kapayan jam 4.30 petang pada 4 Oktober.
Mahkamah menetapkan 25 November untuk sebutan kes dan memerintahkan tertuduh ditahan reman sementara menunggu laporan kimia dan forensik.
Shainal, yang disabitkan dengan kesalahan dadah, ditemui tidak sedarkan diri di penjara dan dibawa ke Hospital Queen Elizabeth, di mana dia disahkan meninggal dunia.
Dilaporkan dia mengalami kecederaan serius ke kepala dan badan, dipercayai disebabkan oleh objek tumpul.

