PETALING JAYA – Dua beradik lelaki warga India bakal berdepan hukuman mati selepas mereka didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh sepasang suami isteri bulan lalu.
Kedua – dua tertuduh, Sagar Sharma, 24, dan Shubham Sharma, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam Bahasa Inggeris.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana ia berada di dalam bidang Mahkamah Tinggi.
Pendakwaan dijalankan dihadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir dan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid.
Kedua-dua tertuduh pula diwakili peguam Gerard Lazarus dan Gabriel Susayan.
Berdasarkan pertuduhan, dua beradik yang bekerja sebagai pengawal keselematan itu didakwa telah membunuh dengan menyebabkan kematian kepada Lim Ah Kee @ Lim Kok Hoe,79, dan Tan Siew Mee, 52,.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di The Main Place Residence, Jalan USJ 21/10 di sini antara pukul 8 malam 23 Ogos hingga pukul 3.20 pagi, 24 Ogos lalu.
Pertuduhan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati.
Tarikh 18 November depan ditetapkan sebagai sebutan kes.

