KUALA LUMPUR – Kilang yang mengeluarkan air minuman jenama berbungkus (AMB) Starfresh dan Waterfuns telah diarahkan menarik balik produk itu di pasaran tempatan selepas dikesan tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa.
Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menggantung lesen AMB kilang berkenaan berkuat kuasa 28 Jun lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkatam hasil pemeriksaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) di kilang produk tersebut mendapati, program jaminan keselamatan makanan tidak dilaksanakan dengan berkesan.
“Aktiviti pemprosesan dan pengeluaran AMB bagi tujuan perdagangan atau perniagaan adalah tidak dibenarkan dan pihak kilang diarahkan untuk menjalankan tindakan pembetulan dalam tempoh penggantungan lesen,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, Agensi Makanan Singapura (SFA) dilaporkan telah mengarahkan produk minuman jenama Starfresh ditarik balik daripada pasaran Singapura selepas dikesan tercemar bakteria berkenaan melibatkan produk yang berisipadu 1,500ml dan 500ml dengan tarikh luput pada 13 Mei 2021 dan 11 Mei 2021.