PETALING JAYA – McDonald’s Malaysia melakar sejarah baharu apabila rangkaian restoran khidmat segera ini diiktiraf sebagai pemegang Malaysia Book of Records bagi ‘Penyertaan Paling Tinggi untuk Cabaran Pandu-Lalu dalam Tempoh 24 jam’.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, cabaran ‘Hujung Minggu Pandu-Lalu McDonald’s’ yang diadakan pada 26 hingga 28 April lepas mendapat sokongan hebat daripada rakyat Malaysia.
“McDonald’s berjaya mencipta rekod baharu apabila pada 27 April, jumlah kenderaan paling banyak menggunakan perkhidmatan Pandu-Lalu dalam tempoh 24 jam dengan jumlah sebanyak 164,235 kenderaan sekaligus menjadikan McDonald’s Malaysia sebagai pemegang Malaysia Book of Records.
“Pihak kami menjangkakan 10 hingga 15 peratus peningkatan jumlah kenderaan yang menggunakan khidmat Pandu-Lalu pada masa hadapan,” katanya dalam Majlis Drive-Thru Leadership for Customer Convenience hari ini.
Terdahulu, satu inisiatif turut dilancarkan menerusi McDonald’s App mulai 17hingga 30 April dalam menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan perkhidmatan Pandu-Lalu McDonald’s selain berpeluang untuk menjadi Top 10 Drive-Thru Heroes.
Turut hadir, Eksekutif Admin Am Malaysia Book of Record, Siti Hajar Johor. – K! ONLINE

