PUTRAJAYA – Mahkamah Majistret di sini hari ini membebaskan Setiausaha Politik kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub yang direman pada Selasa lalu selepas disyaki menerima suapan berbentuk jam tangan jenama Omega dianggarkan bernilai RM28,000 tahun lalu.
Perintah bebas reman itu dikeluarkan oleh Majistret Noraisyah Mohd. Yusof dengan menetapkan wang ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap lelaki berusia 47 tahun itu.
Tempoh reman lelaki itu sepatutnya berakhir esok namun, dia dibebaskan sehari lebih awal pada hari ini.
Terdahulu, lelaki itu tiba di Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9 pagi.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati lelaki terbabit dipercayai menerima jam tangan mewah itu sebagai dorongan membolehkan sebuah syarikat pembangunan mendapatkan projek-projek di bawah kelolaan sebuah kementerian.
Akhbar Kosmo! baru-baru ini melaporkan, lelaki itu ditahan pada kira-kira pukul 5 petang Isnin lalu di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini Ahad lalu ketika hadir memberi keterangan.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang mengesahkan penahanan tersebut untuk siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Sementara itu, Salahuddin dalam satu kenyataannya kelmarin menegaskan beliau tidak akan campur tangan dalam siasatan SPRM berhubung penahanan setiausaha politiknya.
Jelasnya, beliau telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan akan membiarkan undang-undang Malaysia menjalankan tanggunggjawab tersebut.
“Beliau (setiausaha politik) juga seperti rakyat Malaysia lain yang tertakhluk kepada undang-undang.
“Justeru, saya berpegang teguh kepada prinsip keluhuran undang-undang dan yakin serta percaya pihak SPRM akan menyiasat kes ini dengan adil dan bebas,” katanya. – K! ONLINE

