KUALA LUMPUR – Lima penjawat awam termasuk Ketua Balai Polis Setapak didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini sebentar tadi atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung operasi rumah urut ‘Ops Kotaraya’ tahun lalu.
Bagaimanapun kesemua tertuduh iaitu Ketua Balai Polis Setapak, Asisten Superintendan Sherman Salleh, 42, Lans Koperal Faizal Miza Zakariah, 35, anggota bomba Mohd. Fadzli Jamaludin, 48, dua penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Khairil Faezi Mohd. Aziz, 32, serta Qairul Redza Mohd. Hadzri, 35 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Azura Alwi, Rozina Ayub dan Azman Ahmad.
Di hadapan Hakim Azura, tertuduh Sherman dan Faizal mereka, didakwa masing-masing sebagai Penolong Penguasa Polis dan Lans Koperal yang bertugas di Balai Polis Setapak telah secara rasuah meminta suapan RM3,000 daripada Gilbert Juin Anak Damu, 37.
Suapan itu sebagai dorongan untuk kedua-dua tertuduh tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap rumah urut, Angel Massage Centre di Platinum Walk yang dimiliki Redantzkl Enterprise.
Selain itu kedua-dua tertuduh juga turut didakwa masing-masing memperoleh suapan RM3,000 daripada individu sama sebagai dorongan untuk perbuatan yang sama.
Dalam pada itu, anggota bomba Mohd. Fadzli didakwa telah secara rasuah menyetuju terima satu suapan sebanyak RM500 daripada individu sama sebagai dorongan menyokong Permohonan Kelulusan Lesen Perniagaan Premis bagi Redantzkl Enterprise melalui sistem E-Lesen DBKL.
Kesemua kesalahan itu dilakukan Restoran Hayaki Kopitiam, Dobi Speedy Wash, Restoran Ayam Gepuk Pak Gembus, dan Angel Massage Centre di Platinum Walk, Setapak di sini antara antara 5 November 2018 hingga 11 Januari tahun ini.
Di hadapan Hakim Rozina, dua penguatkuasa DBKL tertuduh Khairi Faezi dan Qairul Redza didakwa bersama-sama meminta satu suapan wang sebanyak RM1,500 daripada individu sama sebagai dorongan untuk tidak melakukan tindakan terhadap rumah urut di Blok F-45-1 Platinum Walk, Jalan Langkawi Setapak.
Kesalahan itu didakwa dilakukan Restoran Paparich, Jalan rampai Niaga 5, Rampai Business Park, Taman Sri Rampai di sini pukul 10 malam pada 3 Mei 2018.
Sementara di hadapan Hakim Azman, tertuduh Qairul Redza turut didakwa atas tiga lagi pertuduhan meminta suapan RM58,000 daripada individu sama sebagai sebagai dorongan untuk mendapatkan lesen rumah urut.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu, di Coffee House, Menara Commerce, Jalan Raja laut dan rumah urut di Platinum Walk antara 4 April hingga 27 April tahun lalu.
Bagi kesemua kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) dan 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Dalam semua prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan-timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Abd. Rashid Sulaiman, Nordiana Najwa Nor Azwa dan Mohamad Fadhly Mohd. Zamry.
Tertuduh Sherman diwakili peguam Ahmad Ishrakh Saad, Faizal diwakili Datuk Geethan Ram Vincent, Qairul Redza diwakili dua peguam Luqman Hakim Azhar dan Noor Mousa Azaddin manakala dua lagi tertuduh Khairil Faezi serta Mohd. Fadzli tidak diwakili peguam. – K! ONLINE

