PUTRAJAYA: Dalam memastikan sasaran 50 peratus rakyat Malaysia mengamalkan budaya sukan menjelang 2020 tercapai, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dijangka melancarkan lebih banyak infrastruktur sukan lebih mesra pengguna.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata ia sebahagian daripada usaha pihaknya meningkatkan pembudayaan sukan dalam kalangan rakyat selain mengatasi isu gejala sosial membabitkan remaja.
Malah, katanya infrastruktur yang akan dibina selepas ini perlu difokuskan kepada kawasan luar bandar dan yang lebih memerlukan berbanding kawasan berpengaruh.
“Kalau kita lihat taktik kerajaan Iceland dan Ireland yang berjaya, mereka banyak membina infratsruktur sukan yang tidak mewah seperti stadium.
“Tetapi mereka lebih banyak membina gelanggang atau padang bola sepak, futsal dan ragbi yang menelan kos rendah dan mereka mentransformasi tempat terbabit menjadi pusat komuniti sukan di mana banyak sukarelawan yang ajar bagaimana untuk bermain bola sepak dan sebagainya.
“Dan infrastruktur terbabit sentiasa diguna pakai supaya tidak wujud isu pembaziran. Kita yakin menerusi gelanggang yang lebih mesra rakyat dapat membantu mengurangkan aspek gejala sosial dalam kalangan remaja,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Indeks Budaya Sukan Malaysia 2018 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS), di sini, hari ini.
Sementara itu, Syed Saddiq turut membayangkan akan berlaku perubahan besar dalam Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) tahun ini dengan acara tahunan itu tidak lagi akan disambut dalam satu hari seperti kebiasaan.
“Banyak perkara yang kami mahu lakukan, tapi belum masanya untuk diumumkan. Ia bukan Hari Sukan Negara yang disambut dalam satu hari,” katanya. -BH ONLINE

