NEW YORK – Sekumpulan penyelidik mendedahkan pada Jumaat lalu bahawa angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Scott Kelly mempunyai sistem imun terlampau aktif selepas hampir setahun tinggal di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Kajian tentang sistem imun itu melibatkan Scott, 55, yang dihantar ke angkasa lepas manakala kembar seirasnya, Mark tinggal di bumi untuk melihat kesan jangka panjang hidup di angkasa lepas.
Penemuan itu mencetuskan persoalan dalam kalangan doktor kerana agensi angkasa lepas itu berhasrat mahu menghantar manusia ke planet Marikh.
“Ia seperti jika badan bertindak balas terhadap persekitaran asing umpama anda mempunyai organisma misteri di dalam tubuh anda,” kata pakar genetik Kolej Perubatan Weill Cornell di sini, Dr. Christopher Mason.
Mason mendedahkan hidup di angkasa lepas telah mengubah cara gen tertentu diaktifkan atau dinyahaktifkan, khususnya melibatkan sistem imuniti badan Scott. Perubahan itu dipercayai sebagai cara badan angkasawan itu menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu.
Kebanyakan perubahan fizikal lain termasuk kepadatan tulang kembali normal tidak lama selepas Scott pulang ke bumi pada bulan Mac 2016. Dia tinggal selama 340 hari di ISS. – Agensi

