FLORENCE – Seorang bayi lelaki yang dilahirkan tanpa kedua-dua tangan dan kaki kini menunjukkan perkembangan kesihatan positif walaupun doktor pernah meramalkan dia tidak mempunyai jangka hayat lama.
RJ Wilson, kini empat bulan, disahkan menghidap sindrom tetra-amelia iaitu satu keadaan dilahirkan tanpa semua anggota tangan dan kaki. Sindrom itu turut menyebabkan pembentukan tidak sempurna pada bahagian wajah, jantung, sistem saraf, rangka tulang serta alat sulit.
Keadaan itu berpunca akibat kejadian mutasi genetik dalam asid deoksiribonukleik (DNA) yang terlibat dalam proses pembentukan anggota utama. Lazimnya, bayi yang dilahirkan dengan keadaan itu akan meninggal dunia selepas dilahirkan.
Jasmine Self, 24, menyatakan pemeriksaan imbasan ultrabunyi ketika mengandung lima bulan menunjukkan tiada pembentukan anggota kaki dan tangan dalam kandungannya. Doktor menasihatkan agar bayi itu digugurkan.
Self dan pasangan, Rondell Wilson enggan berbuat demikian dan RJ lahir menerusi pembedahan Caesarean pada 29 September lalu. Sewaktu dilahirkan pada usia 29 minggu, RJ memiliki berat 1 kilogram dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi sebuah hospital di sini.
“RJ mempunyai personaliti menawan, Dia suka membuat ekspresi wajah melucukan dan faham apa yang diperkatakan. Saya merasakan masa depan RJ amat cerah dan mungkin menjadi seorang penceramah bercerita mengenai keadaannya kepada dunia,” kata Self. – Agensi