KUALA LUMPUR – Jumlah penduduk Malaysia pada suku tahun keempat (ST4) 2018 dianggar 32.6 juta, meningkat sebanyak 1.1 peratus berbanding 32.2 juta pada ST4 bagi tahun 2017, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd, Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah itu, 16.8 juta adalah lelaki dan 15.8 juta perempuan.
“Selangor mencatat komposisi penduduk paling tinggi iaitu 6.5 juta penduduk dan Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatat komposisi penduduk terendah iaitu 91,900 penduduk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, laporan berkaitan Perangkaan Demografi bagi ST4 2018 itu memaparkan jumlah penduduk, kelahiran hidup dan kematian pada suku tahun keempat (Oktober-Disember) 2018.
Sebanyak 127,400 kelahiran hidup dilapor pada tempoh sama, turun sebanyak 2.5 peratus berbanding 130,600 kelahiran hidup sepanjang ST4 2017. – BERNAMA
