HONG KONG – Sebutir bom tangan era Perang Dunia Pertama buatan Jerman dijumpai dalam kotak kentang dari Perancis yang dieksport ke sebuah kilang makanan ringan di Hong Kong, kata polis.
Bagaimanapun, bom berkenaan berjaya diletupkan semalam selepas ia ditemui di kilang makanan ringan jenama Calbee itu.
“Bom tangan itu berada dalam keadaan tidak stabil kerana ia diaktifkan dicampak tetapi tidak meletup,” kata jurucakap polis, Wilfred Wong Ho-hon memberitahu wartawan.
Katanya, polis meletupkan bom itu dengan membungkusnya sebelum meletakkannya dalam parit berhampiran kilang makanan ringan itu.
Difahamkan bom itu bersaiz lapan sentimeter dan seberat sekilogram.
“Semua maklumat dari tarikh penghantaran itu menunjukkan ia diimport dari Perancis bersama kentang yang lain,” kata Wong.
Bom tangan itu dipercayai ditinggalkan dalam parit semasa perang dan secara tidak sengaja dikumpulkan bersama kentang yang ditanam seabad kemudian di lokasi itu.
“Sekiranya ia dibaluti lumpur, bom tangan itu kemungkinan tertinggal atau dicampak tetapi tidak meletup ketika perang,” kata ahli sejarah perang di Universiti Hong Kong, Dave Macri.
“Parit yang menjadi tempat perlindungan askar itu kemudian ditimbus dan dijadikan ladang. Bom tangan itu kemungkinan dituai bersama kentang dan dieksport ke Hong Kong,” jelasnya. – Agensi