CYBERJAYA – Kadar tarif air wajar disemak semula dan dinaikkan di seluruh negara setelah sekian lama kekal pada kadar sama selain bagi memenuhi keperluan menyediakan air bersih terawat untuk dinikmati rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd Ridhuan Ismail berkata, dengan pendapatan yang sama sejak 20 tahun lepas, syarikat-syarikat operator air berdepan kesukaran untuk meningkatkan prestasi pengurusan dan penyenggaraan bekalan air terawat berkualiti.
“Bayangkan, gaji yang anda terima hari ini adalah sama dengan gaji semasa mula bekerja pada 20 tahun lepas. Mampukah anda bertahan sedangkan suasana kehidupan kini sudah jauh berbeza?
“Pastinya sukar. Begitu jugalah nasib majoriti syarikat operator air,” katanya.
Beliau memberitahu Bernama syarikat operator air terpaksa menanggung perbelanjaan mengikut harga pasaran semasa termasuk bagi pembinaan loji baharu yang melibatkan kos berdasarkan harga pada masa ini dan bukannya mengikut harga pada 20 atau 30 tahun lepas.
Negeri yang paling lama tidak menyemak atau menaikkan kadar tarif air pengguna domestik ialah Pahang yang kali terakhir melakukan semakan berkenaan adalah pada 1983 diikuti Perlis pada 1996 dan Terengganu pada 1997.
Kali terakhir Perak dan Selangor menaikkan tarif air masing-masing adalah pada 2006, Kedah (2010), Kelantan (2013), Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Johor masing-masing pada 2015.
“Walaupun tarif air Negeri Sembilan dan Melaka dinaikkan pada 2015, ia sebenarnya hanya melibatkan pengguna komersial dan industri. Tarif untuk akaun domestik di kedua-dua negeri tersebut tidak disemak sejak 18 tahun lalu bagi Negeri Sembilan dan 8 tahun bagi Melaka,” jelasnya.
Walaupun baru dinaikkan, katanya, kadar tarif di dua negeri itu masih perlu disemak semula kerana kos operasi rawatan air bersih tidak lagi sama nilainya dengan 2015.
Bagi tarif industri pula, kali terakhir Pahang melakukan semakan adalah pada 1983, Perlis (1996), Terengganu (1997), Perak (2006), Selangor (2006), Kedah (2010), Kelantan (2013) serta Johor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Labuan dan Melaka masing-masing pada 2015. – BERNAMA

