INFLASI dijangka meningkat kepada dua peratus tahun ini berbanding satu peratus yang dianggarkan pada 2018.
Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata antara faktor di sebalik inflasi ialah tolakan kos dan tarikan permintaan, peningkatan kenaikan upah minimum kepada RM1,100 dan harga minyak yang berkemungkinan meningkat.
MIER mengunjurkan harga minyak mentah Brent antara AS$60 dan AS$70 setong pada 2019.
“Jika harga minyak lebih tinggi daripada lingkungan ini, ia akan memberikan tekanan kepada kebanyakan barang dalam Indeks Harga Pengguna (IHP).
“Selain itu peningkatan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika Syarikat tahun ini juga akan menyebabkan pengaliran keluar modal dari negara.
“Jadi kita perlu mengatasi kemungkinan aliran keluar secara ketara,” katanya pada taklimat media Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) MIER bagi suku keempat 2018 di Kuala Lumpur hari ini.
Felo Penyelidikan Kanannnya, Dr. Zulkiply Omar berkata kadar inflasi yang rendah untuk jangka panjang juga tidak baik bagi negara.
“Inflasi tidak boleh kekal pada tahap rendah untuk tempoh terlalu lama kerana ia menunjukkan negara berada di bawah kapasitnya yang sebenarnya. Ia perlu ditingkatkan.
“Kami sedar permintaan luaran rendah, dan kerajaan pasti akan menggunakan permintaan domestik untuk menambah baik ekonomi.
“Pada masa yang sama, ia juga perlu mendorong pengembangan fiskal. Ini akan menyebabkan inflasi penuh,” katanya. – BERNAMA

