PELIK… Ketika Pakatan Harapan (PH) bangga laung konon amal kebebasan media, New Straits Times (NST) pula bertindak sebaliknya apabila cuba tonjol jelas imej anti-Barisan Nasional (BN).
Ini ketara dapat disaksikan pada Ahad lalu apabila halaman pertama edisi mingguan akhbar berbahasa Inggeris itu, New Sunday Times langsung tidak siar berita BN menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands.
Mengapa akhbar milik NST Press Group itu tidak papar walau sepatah perkataan pun mengenai kemenangan BN pada PRK di Pahang tersebut di muka depan surat khabar berkenaan yang jadi tumpuan utama warga Malaysia?
Ia agak pelik. Berita besar yang jadi fokus rakyat Malaysia waima penyokong PH sendiri, seperti tiada nilai bagi NST berbanding kejayaan calon PH pertahankan kerusi pada PRK Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson.
Ketika media tempatan lain berlumba sibuk ‘saji’ berita keputusan PRK Cameron Highlands itu sama ada sekadar laporan kecil atau besar, NST pula kelihatan mahu sorok peristiwa bersejarah tersebut macam tiada apa berlaku.
Ironi, ada netizen dalam nada sindiran berkata, sekiranya calon ‘kitar semula’ PH, M. Manogaran menang walaupun majoriti tipis, pasti ia akan jadi laporan penuh muka depan sampai ke muka belakang atau disebut wrap around.
Segala janji pihak pengurusan baharu editor NST yang diketuai oleh Mustapha Kamil untuk lebih bersikap terbuka dan berlaku adil dalam aspek pemberitaan Malaysia Baru, rupa-rupanya hasrat itu hanyalah retorik kosong sahaja.
Sebelum dilantik menjadi Ketua Editor (semasa berada di luar NST Press Group), beliau dilaporkan sering ghairah tuduh media arus perdana termasuk NST konon sudah tiada kredibiliti dan jadi alat pihak kerajaan BN waktu itu.
Malah Mustapha seperti juga bekas ketua pengarang kumpulan NST, Datuk A Kadir Jasin kerap tohmah pengamal media arus perdana itu sebagai pemakan ‘dedak’. Kini tanpa rasa malu, mereka pula ibarat jilat ludah diri sendiri.
Siapakah yang jadi boneka atau alat propaganda kerajaan PH secara terang-terangan, siapa pula yang sudah hilang wibawa, siapa yang tabur janji manis palsu tetapi pura-pura lupa tunaikannya, dan siapa sebenarnya pelahap dedak?
Ini bukan kali pertama NST sejak di bawah teraju Mustapha (yang dilantik oleh kerajaan PH) tidak objektif, tidak adil dan tidak seimbang dalam laporannya. Hampir saban hari itu yang berlaku, NST kini penuh ampu dan bodek.
Lebih teruk ramai pembacanya setianya dilaporkan ‘muntah’ setelah tatap NST dan New Sunday Times selain juga Berita Harian, BH Ahad serta Harian Metro dan Metro Ahad (kesemuanya akhbar di bawah NST Press Group).
Elemen kritis apatah lagi keberanian wartawan persoal serta bantah banyak kepincangan kerajaan PH, langsung tiada dalam akhbar itu. Mustapha hanya ikut telunjuk A Kadir dan Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Inilah konon kebebasan bersuara dan keterbukaan media di bawah era rejim pentadbiran Malaysia Baharu, yang sebenarnya berundur ke belakang dengan segala kandungan berita dikawal ala pemerintahan negara komunis.
Amatilah betapa hodoh kebebasan media ikut acuan PH. Ketika berkuasa, mereka lebih buruk daripada kerajaan BN sebelum ini yang bebas dikritik bahkan ada pemberita menang hadiah kewartawanan berprestij, Anugerah Kajai.

Tidak kurang aib ialah laporan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) yang tidak lagi profesional dan bebas sebagaimana sebelum ini. Terdapat beberapa beritanya seperti kita baca laporan Roket iaitu organ media DAP.
Bernama sebagai sebuah agensi berita rasmi tidak sepatutnya berpihak secara ketara. Contohilah agensi berita di negara-negara lain misalnya Antara di Indonesia, Xinhua di China atau Saudi Press Agency di Arab Saudi.
Inilah masalah Bernama apabila Pengerusinya, Datuk Seri Azman Ujang sendiri dilaporkan banyak pihak sebagai terlampau bermain politik kepartian, oportunis dan sanggup jadi seperti lalang yang mudah sangat ditiup angin.
Dahulu ketika era BN, beliau licik bodek dan kini pada era PH, lagilah Azman galak bodek malah ada kata beliau jadi suara DAP. Ramai wartawan dan staf Bernama, kecewa lihat hilangnya kredibiliti agensi ini pada masa sekarang.
Satu lagi media yang mengecewakan pelbagai pihak ialah Astro Awani. Sentiasa ada sahaja usaha pihak pengurusan stesen berita 24 jam itu untuk nafi berita positif BN dan PAS sebaliknya ia jadi alat PH secara terang-terangan.
Kemenangan BN pada PRK Cameron Highlands pada Sabtu minggu lalu misalnya dilaporkan Astro Awani secara sinikal dan sudut yang tampakkan seolah-olah ia bukan suatu kemenangan sebenar dengan ulasan berat sebelah.
Mereka lupa dalam sistem pemilihan pemimpin secara demokrasi, mana-mana calon yang menang apatah lagi dengan raih majoriti besar ialah kemenangan kepada rakyat dan demokrasi. Hormatilah keputusan rakyat tersebut.
Nampaknya NST, Bernama dan Astro Awani kini bukan lagi berorientasikan suara sebenar rakyat tetapi sudah jadi alat kerajaan PH semata-mata. Memalukan dan tiada kelas langsung meskipun PH belum genap setahun berkuasa.
Dengan tiga media ini semakin tidak relevan, rakyat akan lebih banyak beralih kepada media sosial sebagai sumber rujukan berita utama. Kini hanya media yang berani kutuk PH sahaja akan jadi tumpuan dan dicari ramai pembaca.
Dengan kata lain, apa yang dilakukan oleh pihak media arus perdana yang sokong kerajaan PH secara taasub akan ‘makan’ diri mereka sendiri. Sejarah telah membuktikan dan belajarlah daripada sejarah! – Agensi/Mynewshub.TV