TAWAU – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah akan menjalankan Latihan Amal Pasak II di sekitar bandar ini selama dua hari bermula 27 Februari.
Sehubungan itu, Komander ESSCOM, Datuk Abd Rashid Harun meminta penduduk setempat tidak panik dan gusar jika melihat pergerakan pasukan keselamatan atau mendengar bunyi letupan dan tembakan.
Beliau berkata, ia sebahagian daripada latihan amal pihak keselamatan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
“Semasa latihan amal ini, ada pergerakan pasukan keselamatan dan aset darat, laut dan udara yang mungkin menimbulkan kegusaran penduduk sekitar bandar Tawau.
“Jika ada sebarang kemusykilan, mereka boleh menghubungi pusat operasi ESSCOM atau Ibu Pejabat Polis Tawau di talian 089-772121,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abd Rashid berharap, latihan amal itu dapat memantapkan lagi keberkesanan pengoperasian ESSCOM dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan rakyat Sabah khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Sebelum ini, ESSCOM melaksanakan latihan sama di Sandakan yang bertujuan antara lain meningkatkan tahap kesiapsiagaan anggota keselamatan ESSCOM. – BHarian Online
