SYUKUR… Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad menjadi antara individu yang sokong petisyen Malaysia Negara Islam (MNI), kata penganjurnya, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
“Alhamdulillah, sejak kempen itu dimulakan akhir tahun lalu, kita boleh lihat gelombang umat Islam khususnya, yang sokong usaha pemerkasaan ini. Antaranya hari ini, dalam pertemuan dengan Mufti Negeri Sembilan.
“Beliau malah menyatakan sokongan penuh dan turut serta menandatangani petisyen MNI,” kata Naib Presiden Isma, Prof. Dr. Zainur Rashid Zainuddin kepada portal rasmi organisasi Islam tersebut, Ismaweb.net, semalam.
Pada 26 Disember lalu, Isma, sebuah badan Islam dan Melayu sederhana, menganjurkan kempen MNI, dengan matlamat untuk perkasa kedudukan Islam di tanah air yang semakin terancam pasca Pilihan Raya Umum (PRU).
Di samping itu, kempen tersebut berperanan tolak usaha terancang pihak tertentu ingin ubah landskap kenegaraan tanah air termasuk kontrak sosial yang dipersetujui semua kaum terbesar sebelum negara capai kemerdekaan.
Petisyen yang digerakkan itu, sehingga hari ini berjaya kumpul 68,520 tandatangan, dan jumlah itu sudah hampiri sasaran awal 75,000 tandatangan. Orang ramai boleh sokong usaha ini dengan layari platform laman change.org.
Kemuncak kempen yang akan berlangsung selama lima bulan itu, ialah pengumpulan satu juta tandatangan umat Islam dari seluruh negara, untuk kemudian diserahkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Ia turut disertakan bersama memorandum pernyataan hasrat rakyat, bahawa Malaysia mesti dipertahankan sebagai negara Islam.
Mengulas lanjut, Zainur Rashid berkata, sebagai sebahagian usaha kempen, pertemuan yang berlangsung dengan Mufti Negeri Sembilan itu turut membincangkan pelbagai isu membabitkan kedudukan Islam di Malaysia, termasuk konsep yang diperkenalkan segelintir pihak, yang dilihat mencabar kesucian agama Islam.
“Dalam pertemuan bersama Mufti, ada dibincangkan bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar di sisi Allah SWT. Maknanya, kenyataan bahawa semua agama itu sama adalah tidak tepat, menyimpang dan dan sesat.
“Namun orang bukan Islam dibenarkan amal agama mereka di Malaysia,” kata Zainur Rashid. Perbincangan turut sentuh ancaman mutakhir ini yang sedang melanda tanah air – menyerang kedudukan Islam dari pelbagai sudut.
“Sekarang wujud gerakan agresif yang cuba ubah wajah sosiopolitik tanah air, untuk tukar Malaysia menjadi negara sekular liberal. Apa maksud sekular liberal ini? Maksudnya, acuan Malaysia adalah berkonsepkan sekular.
“Iaitu agama dipisahkan daripada pentadbiran dan liberal, iaitu fahaman dan ideologi yang condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang ultra demokratik, termasuk menentang hak-hak istimewa Raja-Raja,” katanya.
Hal ini harus dijelaskan kepada umat Islam, kerana jika tidak dicantas dikhuatiri kesucian dan keistimewaan agama Islam yang dipelihara dari sudut syarak, sejarah, budaya dan Perlembagaan Negara itu sendiri akan terancam.
“Kita harus cakna, bahawa Malaysia ini hakikatnya adalah negara Islam dan bukan negara berkonsepkan sekular, liberal dan ultra demokrasi. Buktinya, empat tiang utama kenegaraan – syarak, sejarah, budaya dan Perlembagaan.
“Ia dengan jelas memaparkan bahawa negara ini adalah negara Islam. Umat Islam di negara kita harus bangkit pertahankan perkara ini, dan bukan Islam pula harus hormatinya,” kata Zainur Rashid. – Agensi/Mynewshub.TV

