SUBHANALLAH… Ketika penduduk di sekitar Selat Sunda masih lagi bimbang dengan status Anak Krakatau, masyarakat Indonesia pula gempar dengan imej awan di perairan gunung berapi itu!
Media tempatan melaporkan suatu fenomena alam cukup unik pada pagi Jumaat, yang dianggap penghulu segala hari bagi umat Islam di seluruh dunia; apabila ‘disajikan’ dengan pemandangan amat menakjubkan di selat tersebut.
Rakaman gambar yang diambil jurufoto pada pukul 6.30 pagi Waktu Indonesia Barat (atau 7.30 pagi di Malaysia), memaparkan tepat di atas Gunung Anak Krakatau terlihat penampakan awan yang berbentuk lafaz kalimah Allah.
Fenomena unik ini bagaimanapun hanya berlangsung sekitar tiga minit tetapi berjaya ‘diabadikan’ oleh jurugambar portal berita ternama tempatan berpusat di Jakarta, Sindonews.com, Isra Triansyah yang kebetulan berada di sana.

Dikatakan dia asalnya berniat merakam gambar dari tepi pesisir Pantai Tanjung Lesung untuk memaparkan imej aktiviti Gunung Anak Krakatau, namun kemudian mendapatkan gambar yang cukup membuatkan hati tersentuh.
Bagi masyarakat Muslim tidak kira di Indonesia; yang merupakan negara paling ramai penganut Islam atau pun di seluruh dunia, penampakan kalimah Allah boleh dianggap cukup istimewa sebagai bukti kekuasaan sifat Tuhan.
Ketika ini aktiviti Gunung Anak Krakatau semakin meningkat sehingga statusnya dinaikkan daripada taraf waspada menjadi siap siaga mulai semalam. Letusan telah dikesan sejak Julai lalu sebelum capai kemuncak minggu lepas.
Berbanding induknya yang meletup kuat pada tahun 1883 sehingga mengakibatkan tsunami cecah 26 meter, letusan Anak Krakatau pula dianggap baru 30 peratus sahaja daripada kekuatan ‘ibunya’ dahulu. – Agensi/Mynewshub.TV