KUANTAN – Pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) Anih Berhad mengumumkan diskaun tol sebanyak 10 peratus sempena cuti perayaan Hari Krismas untuk semua jenis kenderaan.
Diskaun tol itu berkuat kuasa dalam tempoh 24 jam bermula 12 tengah malam hingga 11.59 malam pada Selasa, 25 Dis ini.
Pengarah Eksekutif Anih Berhad, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pemberian diskaun itu merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat sejak tahun 2011 bagi pengguna lebuh raya berkenaan.
Beliau berkata waktu puncak aliran trafik dijangkakan membanjiri Lebuhraya KLK dan LPT 1 sempena cuti Hari Krismas adalah pada 22 Dis, bermula jam 9 pagi hingga 2 petang untuk trafik menghala ke pantai timur dan pada 23 dan 25 Dis, iaitu antara jam 4 petang hingga 12 malam untuk trafik menghala ke arah Kuala Lumpur.
Nik Fauzi berkata, pengguna yang ingin menuju ke pantai timur boleh mendapatkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) di laman web Anih Berhad atau mengikuti Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur.
“TTA ini disediakan untuk membantu menyuraikan trafik dan mengurangkan kenderaan bertembung pada satu masa yang sama di plaza tol (pada waktu puncak), khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak hingga boleh menyebabkan kesesakan,” menurutnya. – BERNAMA

