KUALA LUMPUR – Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) berjaya menurunkan harga 291 jenis barangan sejak ia dilaksanakan semula September lepas.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata kajian oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu menunjukkan 70 peratus daripada 417 barangan merangkumi enam kategori mengalami penurunan harga.
“Satu kajian telah dibuat oleh KPDNHEP ke atas pelaksanaan SST dari sudut harga bagi 417 barangan merangkumi enam kategori iaitu barangan segar (136), barangan kering (25), barangan berbungkus, tin, pek dan botol (59), minuman (25), makanan dan barangan bayi (49) dan barangan kebersihan (23).
“Dari analisis perubahan harga dibuat berdasarkan perbandingan harga purata antara bulan Mei 2018 dan September 2018 secara keseluruhanya, 70 peratus atau 291 barangan mencatatkan penurunan, 27 peratus atau 115 item mengalami kenaikan purata dan tiga peratus, 11 item tiada perubahan harga,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2018 di Dewan Negara hari ini.
Bagaimanapun, apa yang berlaku kini ialah penurunan itu tidak digembar-gemburkan berbanding 27 peratus barangan yang mengalami kenaikan memberi impak seolah-olah SST menyebabkan kenaikan kepada keseluruhan harga barangan.
Dalam pada itu, Amiruddin berkata kerajaan telah mengutip SST sebanyak RM4.5 bilion bagi tempoh 1 Sept hingga 17 Dis ini.
“Kita sasarkan untuk kutip RM22 bilion SST pada tahun 2019 iaitu cukai jualan sebanyak RM13.8 bilion manakala cukai perkhidmatan RM8.2 bilion,” katanya.
Sementara itu, kerajaan dijangka kehilangan hasil sebanyak RM26.9 juta setahun berikutan langkah menaikkan pelepasan taksiran cukai daripada RM6,000 kepada RM8,000 ke atas simpanan bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Bagaimanapun, kehilangan hasil bagi tahun taksiran 2019 dan tahun 2020 itu berbaloi berbanding simpanan yang dibuat oleh rakyat Malaysia dalam SSPN.
“Untuk tahun taksiran 2017, pembayar cukai yang menuntut pelepasan cukai ke atas simpanan bersih SSPN ialah seramai 242,027 dengan jumlah tuntutan sebanyak RM630.3 juta.
“Itu semasa pelepasan cukai RM6,000, dengan menaikkan jumlah pelepasan hingga RM8,000 kita jangka lebih ramai lagi penyimpan akan menyimpan dalam SSPN,” katanya.
RUU yang bertujuan untuk meminda Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Penggalakan Pelaburan 1986, Akta Setem 1949, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976, Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, Akta Cukai Perkhidmatan 2018 dan Akta Cukai Jualan 2018 itu kemudian diluluskan dewan.
RUU adalah langkah menambahbaik peruntukan perundangan percukaian, penguatkuasaan dan memperkukuh layanan cukai sedia ada yang memerlukan pindaan akta-akta berkenaan.
RUU itu diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 10 Dis lepas.
Sementara itu, dewan turut meluluskan enam RUU lain iaitu RUU Cukai Pendapatan (Pindaan) 2018, RUU Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) 2018, RUU Kastam (Pindaan) (no.2) 2018, RUU Eksais (Pindaan) 2018, RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2018 dan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2018. – BERNAMA

