BAITULMAQDIS – Tembakan yang dilepaskan daripada kenderaan bergerak mencederakan beberapa penduduk Israel di perhentian bas berhampiran penempatan di Tebing Barat malam semalam, kata tentera rejim Zionis.
Enam orang dimasukkan ke hospital selepas serangan berhampiran penempatan Ofra di utara Baitulmaqdis, termasuk wanita berusia 30 tahun yang dalam keadaan serius.
“Tembakan dilepaskan ke arah penduduk awam Israel yang berdiri di perhentian bas daripada kenderaan Palestin yang melepasi kawasan itu,” kata tentera dalam Twitter.
Tentera Israel yang berada berhampiran bertindak balas dengan menembak ke arah kenderaan yang melarikan diri, kata kenyataan, menambah tentera sedang memeriksa kawasan itu.
Mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital di Baitulmaqdis, kata kenyataan.
Ia adalah serangan pertama seumpama itu di Tebing Barat sejak 26 November lalu apabila seorang penduduk Palestin merempuh tentera Israel dengan kereta, mencederakan tiga daripada mereka. — AFP/BH ONLINE

