KUALA LUMPUR – Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah hari ini berkenan menziarahi Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya pada 26 November lepas.
Baginda berangkat tiba di perkarangan Institut Jantung Negara (IJN) pada 12 tengah hari tadi, disambut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Azmin Osman dan Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Nordin Pauzi.
Sultan Sallehuddin kemudiannya berkenan meluangkan masa hampir 30 minit menziarahi Muhammad Adib yang juga merupakan anak jati Kuala Kedah, Kedah.
Dalam kejadian awal pagi Selasa, Muhammad Adib dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika dalam operasi memadam kebakaran kenderaan di hadapan kuil tersebut.
Muhammad Adib yang mengalami patah tulang rusuk dan kecederaan lain sebelum ini, dirawat di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) sebelum dipindahkan ke IJN lewat malam Selasa.
Ketua Pengawai Eksekutif IJN Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub ketika mengulas keadaan Muhammad Adib pagi ini berkata mangsa masih kritikal tetapi stabil.
Insiden kekecohan di kuil itu yang berlaku kira-kira jam 2 pagi pada 26 November lepas, tercetus susulan isu perpindahan tapak kuil itu ke lokasi baharu.
Setakat ini polis telah menahan 30 individu bagi membantu siasatan insiden tersebut. – BERNAMA
