PETALING JAYA – Pelakon, Saharul Ridzwan menegaskan, dia tidak akan sesekali menggunakan teknologi ‘autotune’ untuk memantapkan suaranya kerana enggan menipu pendengar.
Akur dia tidak memiliki bakat besar sebagai penyanyi, pelakon yang mula dikenali menerusi drama rantaian, Hati Seorang Perempuan ini memberitahu, dia lebih selesa menjadi rapper kerana ia lebih sesuai dengan kemampuan vokalnya.
“Kalau boleh memang saya mahu mencuba semua, tetapi apabila difikirkan kembali, lebih baik saya melakukan sesuatu yang termampu.
“Dari sudut lakonan, kita memang boleh belajar, tetapi menyanyi perlukan bakat. Kalau suara tidak sedap, buat apapun, memang tidak akan sedap.
“Tidak perlulah guna ‘autotune’ semata-mata untuk memantapkan suara. Disebabkan itu, saya rela menjadi penyanyi rap kerana suara saya lebih sesuai untuk genre R&B hip-hop,” kata pelakon berusia 29 tahun ini.
Mengenai single Buku Putih yang menyaksikan kolaborasi pertamanya bersama komposer terkenal, Ajai, pemilik nama lengkap, Mohd Saharul Ridzwan Hashim berkata, lagu itu bakal menemui peminat tidak lama lagi.
“Disebabkan jadual penggambaran yang sangat ketat, hasrat melancarkan single itu terpaksa ditangguhkan seketika.
“Alhamdulillah, sekarang semuanya sudah selesai dan saya sedang menunggu tarikh baharu untuk pelancaran single itu,” katanya yang turut menulis lirik untuk bahagian rap lagu itu.
Saharul ditemui pada majlis sidang media drama rantaian lakonannya, Selafaz Cinta. Drama arahan bersama Pali Yahya dan Eez Jalaluddin itu turut menampilkan Syatilla Melvin, Puteri Aishah, Sharifah Sakinah dan Aqasha. – BH Online