LODZ (Poland) – Kadar kebolehpasaran graduan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang tinggi dibentang di sebuah universiti teknikal, Lodz University of technology (LUT) di Poland semalam.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah sebanyak 84 peratus daripada kira-kira 3,600 pelajar telah mendapat pekerjaan sebelum istiadat konvokesyen pada Oktober lalu.
Baginda yang juga Canselor UniMAP menyatakan demikian kepada wartawan semasa mengetuai program Jelajah Ilmu UniMAP siri ke-14 di universiti berkenaan di sini.
Program selama empat hari itu antara lain bertujuan menjalin dan melebar jalinan kerjasama dengan institusi-institusi pengajian tinggi di Poland.
Sebelum itu ketibaan baginda dan delegasi disambut oleh Rektor LUT, Prof Slawomir Wiak dan para pegawai kanan universiti itu.
Baginda dan delegasi diberi taklimat mengenai sejarah pencapaian LUT oleh Slawomir sebelum diiringi meninjau kemudahan yang terdapat di universiti itu termasuk kompleks sukan termodennya.
LUT yang mempunyai 18,000 pelajar kini memberi fokus kepada penyelidikan teknologi maju untuk pembangunan termasuk menguji rangkaian mudah alih ‘5G Superfast’.
Turut mengiringi baginda pada siri jelajah itu ialah Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal, dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Prof Mohd Fo’ad Sakdan. – BERNAMA
