KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang untuk mewujudkan dasar berhubung larangan diskriminasi bagi penghidap HIV/AIDS agar golongan itu tidak tertindas dalam sektor pekerjaan.
Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran berkata setakat ini Malaysia tidak mempunyai undang-undang berkaitan perkara itu.
“Malaysia macam bebas, tiada apa-apa (undang-undang). Kita tidak mempunyai apa-apa undang-undang mengenai perkara ini tetapi ia sedang dibincang di peringkat kementerian untuk memperkenalkan undang-undang yang perlu untuk mencegah diskriminasi di tempat kerja.
“Kami sedang memikirkan sama ada hendak memperkenalkan peraturan atau ada keperluan untuk mewujudkan undang-undang bagi menangani perbuatan diskriminasi.
“Secara umumnya anda tidak boleh dipecat hanya semata-mata kerana anda menghidapi penyakit kritikal. Kita tidak membenarkan perkara seperti itu di negara ini.
“Sama juga jika anda menghidap HIV, anda tidak boleh dibuang kerja namun tiada undang-undang yang menyentuh mengenai perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah ‘ASEAN Red Ribbon for Outstanding Workplace (ARROW)’ kepada tujuh syarikat dari negara-negara ASEAN di sini, hari ini.
Kula Segaran turut berkata keperluan undang-undang ini adalah bagi mendidik golongan majikan dan pekerja untuk mengetahui hak mereka.
Sebelum ini, Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC) Bakhtiar Talhah dilaporkan berkata MAC sedang mengadakan perbincangan dengan Kementerian Sumber Manusia berhubung dasar untuk menentukan penghidap HIV/AIDS termasuk mereka yang sedang mendapatkan rawatan tidak didiskriminasi dalam mendapatkan pekerjaan.
Dalam pada itu, anugerah ARROW dianugerahkan atas pencapaian syarikat terlibat dalam menjalankan program kawalan dan pencegahan HIV/AIDS di tempat kerja.
Petronas (Malaysia), Jerudong Park Medical Centre (Brunei), Dewhirst Co.Ltd. (Kemboja), Star Energy Geothermal (Wayang Windu) Ltd (Indonesia), Knowles Electronics Corporation (Filipina), MSD International GMBH (Singapura) dan Sanden Co. Ltd. (Thailand) menerima anugerah tersebut. – BERNAMA