KUALA TERENGGANU – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu menahan dua lelaki tempatan bersama 1.5 juta batang rokok jenama LEAGUE yang diseludup dari negara jiran pada 18 Nov lepas.
Pengarah Kastam Terengganu Datuk Radzi Muhammad berkata nilai keseluruhan rokok dianggarkan RM120,000 yang melibatkan cukai berjumlah RM1.086 juta.
Katanya dua lelaki berkenaan berjaya ditangkap ketika lori jenis Isuzu yang membawa muatan rokok itu melalui Jalan Pelong, Kampung Kerbau Menyusut, Sungai Tong, Setiu pada pukul 12.30 tengah hari, Ahad dalam satu operasi sepasukan pegawai kastam Bahagian Penguatkuasaan JKDM Terengganu selepas mendapat maklumat awam.
“Ketika pasukan JKDM cuba menahan lori itu berlaku adegan mengejar dalam jarak 400 meter sebelum kedua-dua lelaki berkenaan yang masing-masing berumur 53 dan 38 tahun terjun dari lori itu.
“Bagaimanapun mereka berjaya ditangkap dan kini ditahan reman selama 15 hari bermula 19 Nov hingga 3 Dis ini untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata tangkapan itu adalah tangkapan terbesar JKDM Terengganu tahun ini melibatkan rokok seludup dan rokok berkenaan dipercayai untuk pasaran di Lembah Klang.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan terlibat dalam mengangkut barang-barang larangan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 135(1) (i) akta sama iaitu denda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Katanya siasatan awal mendapati rokok-rokok yang disita tidak memenuhi ciri rokok yang dibenarkan untuk pasaran tempatan, seperti yang diperuntukkan dalam butiran Bahagian Il Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017, dan tiada permit import sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Peraturan Kastam.
Beliau berkata untuk sepanjang tahun ini, JKDM Terengganu berjaya merampas lebih 10 juta batang rokok seludup daripada lebih 100 kes yang dikesan.
“Bagi memastikan penyeludupan dapat dibanteras, kerjasama orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat kepada JKDM sebagai usaha bersama mencegah penyeludupan. Orang ramai boleh menghubungi JKDM Terengganu talian 09- 6204257 atau talian bebas tol 1-800-88-8855,” katanya. – BERNAMA