WARSAW – Pemain tenis wanita dari Poland, Agnieszka Radwanska berkata dia telah membuat keputusan untuk menamatkan karier 13 tahun sebagai pemain profesional atas faktor kesihatan.
Bekas No.2 dunia itu adalah pemain Poland pertama berjaya melangkah ke saingan akhir Grand Slam ketika Era Terbuka yang menyaksikan dia menamatkan saingan tersebut sebagai naib juara selepas tewas kepada Serena Williams sewaktu kejohanan Wimbledon pada 2012.
Pemain berusia 29 tahun itu yang telah meraih 20 gelaran WTA adalah antara atlet paling konsisten sepanjang siri jelajah berikutan sentiasa menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik sepanjang 2011 hingga 2016.
Bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini pemain berkenaan bergelut dengan prestasi serta kesihatan sehingga menyukarkan dia meraih gelaran sejak Oktober 2016.
“Malangnya saya tidak lagi boleh berlatih dan bermain seperti sebelum ini dan sejak akhir-akhir ini badan saya sukar mencapai tahap yang saya inginkan.
“Memikirkan soal kesihatan saya ini dan bebanan yang saya pikul sebagai pemain tenis profesional maka saya membuat keputusan tidak lagi akan mendesak keupayaan badan saya seperti sebelum ini,” kata Radwanska. – REUTERS

