KOTA KINABALU – Zon-zon perindustrian di Sabah mencatatkan pencapaian yang baik setakat Julai tahun ini, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau.
Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata pencapaian itu dapat dilihat menerusi jumlah entiti syarikat yang dibangunkan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) iaitu 663 syarikat dengan nilai pelaburan RM3.1 bilion.
Beliau berkata perkembangan positif itu turut menghasilkan 9,479 peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan di KKIP.
Kluster Perindustrian Kelapa Sawit (POIC) pula mempunyai 44 projek perkilangan dengan nilai pelaburan RM3.48 bilion dan menjana 2,386 peluang pekerjaan, manakala tiga projek dengan pelaburan bernilai RM158 juta dihasilkan di POIC dengan mewujudkan 160 peluang pekerjaan, katanya.
“Bagi Taman Perindustrian Minyak dan Gas (SOGIP) Sipitang, walaupun setakat ini hanya satu projek urea, namun, nilai pelaburan amat besar iaitu RM4.5 bilion dan menyediakan 4,500 peluang pekerjaan semasa fasa pembinaan dan 400 peluang pekerjaan selepas beroperasi,” katanya pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Limus Jury (UPKO-Kuala Penyu) yang ingin tahu insentif yang disediakan bagi pembangunan sesebuah kawasan menjadi zon perindustrian selaras dengan hasrat kerajaan mewujudkan satu daerah satu industri.
Madius berkata kementeriannya menyediakan pelbagai insentif dan bantuan bagi membangunkan industri kecil dan sederhana (IKS) di setiap daerah termasuk bantuan geran untuk mempertingkat pembungkusan produk serta pembelian kelengkapan seperti mesin.
Beliau berkata kursus berkaitan turut dilaksanakan bagi mempertingkat keupayaan pengusaha IKS menjalankan perniagaan secara komersial sehingga ke tahap pengeksportan produk selain bantuan mempromosi pemasaran produk IKS.
“Program mempelbagaikan kemahiran dengan kerjasama SIRIM Berhad adalah bertujuan meningkatkan teknologi IKS serta pengeluaran produk mereka,” katanya.
Madius berkata Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah turut membangunkan 54 kilang perusahaan kecil dan sederhana di Sepanggar yang akan disewakan pada kadar kira-kira 30 peratus lebih rendah daripada pasaran.
Sementara itu, Madius berkata, kementeriannya juga menyasarkan seramai 560 hingga 840 usahawan baharu dan seterusnya mewujudkan 2,800 hingga 4,200 pekerjaan baharu menjelang 2023. – BERNAMA