KUALA TERENGGANU – Siapa sangka hobi bermain Sukan Elektronik ‘Pro Evolution Soccer’ (PES) yang sering dikaitkan dengan perbuatan sia-sia dan kurang berfaedah terbukti sebaliknya apabila ia menjadi sumber pendapatan buat Muhammad Rafiq Firdaus Junus @ Ramli, 18 tahun.
Muhammad Rafiq Firdaus atau lebih mesra dengan panggilan Rafiq berkata minat untuk menceburi bidang sukan elektronik itu dengan lebih serius timbul apabila beliau menyertai pertandingan PES 2016 anjuran Kuppy Station buat pertama kalinya pada 2016.
“Pada peringkat awal saya hanya bermain PES ini bersama rakan-rakan dan sepupu sehinggalah seorang daripada mereka melihat bakat saya dalam permainan itu dan bawa saya menyertai pertandingan itu. Daripada situ saya mula menyertai pelbagai perlawanan PES yang diadakan di seluruh negara.
“Saya tidak pernah menyangka bahawa hobi bermain PES mampu menjana pendapatan apabila setiap kali menyertai pertandingan. Rasanya setakat ini sudah lebih RM20,000 hadiah yang diterima hasil daripada menyertai pelbagai pertandingan,” kata anak kelahiran Kampung Tasik, Setiu ketika ditemui Bernama.
Menurut Rafiq, sejak 2016 hingga kini beliau telah menyertai lebih 50 pertandingan PES dan di antara kesemua pertandingan itu beliau sering menjadi antara empat pemain teratas dalam setiap perlawanan yang disertai.
Baru-baru ini beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan ‘Pro Evolution Soccer’ (PES) 2018 yang berlangsung di Selangor Cyber Games pada 28 Okt lepas. Pro Evolution Soccer (PES) adalah satu siri pertandingan permainan video simulasi bola sepak yang dibangunkan dan dikeluarkan setiap tahun sejak tahun 2001.
Meskipun telah bermain PES sejak di bangku sekolah, namun ia bukan tiket untuk Rafiq mengabaikan pelajaran tetapi ia mengajar anak bongsu dari sembilan beradik itu untuk lebih bijak membahagikan masa untuk mengulangkaji pelajaran dan berlatih bagi menyertai pertandingan PES pada setiap hujung minggu.
“Setiap minggu saya akan menaiki bas untuk menyertai pertandingan PES yang diadakan di luar kawasan termasuklah di Kelantan, Kuala Lumpur dan seluruh Semenanjung… untuk itu saya perlu bijak membahagikan masa agar pelajaran saya tidak terjejas dan kini apabila tamat belajar saya ingin tumpukan perhatian sepenuhnya pada sukan elektronik ini.
“Sebelum ini, saya pernah kecewa apabila tidak termasuk dalam senarai antara empat peserta terbaik untuk mewakili Malaysia pada pertandingan PES 17 Sea final di Bandung, Indonesia… saya ingin mewakili negara pada suatu hari nanti,” katanya.
Mempunyai pasukan sendiri yang dikenali sebagai Anak Tasik Group Games (ATG Games), Rafiq berkata anggota kumpulan yang terdiri daripada sembilan orang itu adalah tulang belakangnya dalam sukan elektronik dan tidak pernah jemu untuk memberi sokongan serta tunjuk ajar buatnya sepanjang bergiat dalam aktiviti itu.
Sementara itu, Naib Presiden 1 E-sports Malaysia Terengganu (ESMT), Syed Afif Hakimi Tengku Abdillah berkata sebelum ini PES kurang mendapat perhatian pemain di Terengganu, namun ianya mula menjadi perhatian sejak tahun 2016 dan berjaya mencungkil bakat-bakat baharu termasuk Rafiq yang kini menjadi atlet sukan itu.
“Kalau kita lihat sebelum ini atlet sukan elektronik ini banyak didominasi oleh atlet negeri lain seperti Kuala Lumpur, Melaka, dan Johor manakala di Terengganu kita tidak pernah mempunyai atlet sendiri. Namun setelah sukan ini berkembang di Terengganu kita berjaya menemukan 10 orang anak jati Terengganu yang berbakat daripada 200 pemain PES di negeri ini termasuk Rafiq,” katanya. – BERNAMA