KOTA KINABALU – Panglima Angkatan Tentera (PAT) Malaysia Jen Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin positif dan yakin kerajaan akan memberikan keutamaan kepada ATM dalam Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan di Parlimen esok.
Beliau berkata ATM telah mengetengahkan beberapa perkara yang perlu diambil kira dalam Belanjawan 2019 mengikut keutamaan berdasarkan keperluan pembangunan kapasiti yang menyeluruh.
“Secara dasarnya saya tahu kerajaan amat memahami keperluan berkenaan dan kita positif bahawa kerajaan akan berikan keutamaan kepada ATM termasuk dari segi perolehan aset dan isu-isu berkaitan hal ehwal kebajikan anggota dan pesara tentera,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) dan Pingat Kedaulatan Negara (PKN) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sepanggar, dekat sini hari ini.
Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, Zulkifli berkata barisan kepimpinan ATM terus komited dalam melaksanakan penambahbaikan di semua aspek dalam ATM.
“Saya ingin melihat sinergi ATM lebih berfokus dan berupaya melaksanakan tenggungjawab bertunjangkan dasar dan doktrin sebagai barisan hadapan pertahanan negara,” katanya.
Beliau berkata dalam usaha penambahbaikan berkenaan ATM kini sedang dalam proses merangka ‘Kertas Putih Pertahanan’ yang mana ia merupakan dokumen yang menyeluruh dan inklusif melibatkan pelbagai pihak berautoriti termasuk tenaga pakar daripada universiti, bahagian dasar dalam kerajaan dan veteran tentera.
“Selain itu ATM juga telah mengorak langkah penting dan mengambil pendekatan strategik dengan menjadikan konsep keselamatan siber sebagai salah satu komponen utama dalam perancangan modenisasi kerana kita khuatir terhadap serangan dan ancaman siber oleh pihak tertentu di era digital ini,” katanya.
Zulkifli berkata pihaknya juga mengalu-alukan penglibatan seluruh lapisan masyarakat dalam memberikan pandangan dan idea bernas dalam usaha mengukuhkan pertahanan negara.
Sementara itu, mengulas mengenai majlis berkenaan beliau berkata 80 veteran tentera telah dianugerahkan pingat PJM dan 80 lagi anggota yang masih berkhidmat telah dianugerahkan PKN.
“PJM dikurniakan kepada veteran tentera yang telah berkhidmat semasa memerangi pengganas komunis Malaya secara berterusan mulai 1969 hingga 1989. Manakala pingat PKN pula dikurniakan bagi keberanian dan pengorbanan yang cemerlang yang dipamerkan oleh pasukan keselamatan semasa Operasi Daulat di Lahad Datu pada 2013,” katanya. – BERNAMA