PARIS – Perancis melancarkan siasatan di seluruh negara terhadap fenomena puluha bayi dilahirkan tanpa tangan di beberapa kawasan pedalaman, sejak 2000, selepas banyak kes baharu dilaporkan, minggu ini, kata Menteri Kesihatannya, semalam.
Satu siasatan berasingan turut dibuka terhadap laporan bahawa banyak anak lembu dan mungkin ayam dilahirkan tanpa kaki di tiga kawasan pertanian sama, kata pegawai kepada Reuters.
Agensi kesihatan awam, Sante Publique berkata, ia mengenal pasti 11 kes baharu bayi lahir tanpa tangan antara 2000 hingga 2014 di kawasan Ain, timur Perancis berhampiran sempadan Switzerland di mana tujuh kes dilaporkan antara 2009 hingga 2014.
Kes kelahiran cacat turut dilaporkan di dua kawasan di barat Perancis, empat di Morbihan dan Brittany antara 2011 hingga 2013, tiga di wilayah jiran Loire-Atlantique pada 2007 hingga 2008. Jarak Ain dan Morbihan adalah beberapa ratus kilometer.
Semua laporan itu mencetuskan kebimbangan kepada penduduk Perancis bahawa ada toksik dalam makanan, air atau udara yang menjadi penyebab.
“Saya mahu tahu, saya rasa seluruh Perancis mahu tahu. Ia mungkin faktor alam sekitar. Mungkin ia kerana apa yang dimakan wanita, minum atau bernafas,” kata Menteri Kesihatan, Agnes Buzyn. – Reuters/BH ONLINE

