KUALA LUMPUR – Pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan masih terdapat kira-kira 100 lagi rakyat negara ini yang cenderung untuk menyertai kumpulan pengganas di Selatan Filipina dan Syria.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata selepas kematian ketua militan Daesh Asia Tenggara dari Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, kini tugas untuk merekrut pengganas diambil alih oleh Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin (Akil Zainal).
“Akil Zainal yang berlepas ke Syria pada 2014 masih main peranan merekrut rakyat Malaysia untuk dibawa ke Syria. Dalam pemantauan kita di media sosial ini lebih 4,000 (dalam) Facebook… ada 100 lagi rakyat Malaysia cenderung untuk jihad sama ada ke Selatan Filipina atau Syria,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Bukit Aman di sini hari ini.
Sebelum itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengadakan satu sidang media khas berhubung kejayaan PDRM dengan kerjasama National Intelligence Organization dari Turki atau lebih dikenali sebagai Milli Istihbarat Teskilati, (MIT) yang berjaya membawa keluar seorang wanita warga Malaysia berusia 31 tahun bersama dua anaknya iaitu seorang perempuan, lima tahun dan lelaki dua tahun keluar dari Idlib, Syria setelah suaminya yang juga warga Malaysia terkorban di sana.
Menurut Ayob, ideologi pengganas terutama seperti Daesh amat berbahaya khasnya melalui media sosial dan ia boleh menyusup masuk ke negara ini secara senyap jika tidak dikawal dan dipantau.
Seramai 102 rakyat Malaysia dilaporkan pernah berada di Syria untuk berjuang bersama Daesh dan 37 daripadanya terkorban manakala lapan orang kembali ke Malaysia pada 2015. – BERNAMA

