JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua merampas 10 bubu udang yang dilarang penggunaannya di 10 lokasi berasingan di sekitar perairan Muar dan Batu Pahat, hari ini. Komandernya ACP Paul Khiu Khon Chiang berkata rampasan dilakukan menerusi Op Gelora antara 11 pagi dan 2 petang tadi.
“Kesemua bubu udang tersebut dirampas di sekitar perairan laut Parit Kedondong, Muar dan Sungai Ayam, dekat Batu Pahat,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Khiu berkata tiada penahanan dilakukan semasa operasi itu dan kes tersebut diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata operasi itu bertujuan melindungi khazanah dan ekologi laut negara daripada kaedah tangkapan yang salah sehingga menjejaskan habitat pembiakan perikanan, alam semulajadi serta sistem eko perairan. –BERNAMA
