KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan meratifikasi enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) sebagai polisi luar negara.
Pengerusi Gabungan Organisasi Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (MACSA) Azril Mohd Amin berkata ini kerana terdapat kemungkinan berlakunya ketidak jujuran jika setelah dirafitikasi, kewajipan-kewajipan di bawah konvensyen itu tidak dapat dilaksanakan atas sebab birokrasi.
“Kebimbangan yang sah daripada sudut nilai budaya dan agama serta pertembungan dengan perkara-perkara asas Perlembagaan perlu ditangani terlebih dahulu dan dibincangkan secara teliti dengan semua pihak berkepentingan.
“Ini supaya tindakan meratifikasi konvensyen-konvensyen antarabangsa tidak sekadar berbentuk hiasan luaran semata-mata, namun paling utama ia tidak menjejaskan kedaulatan negara,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy dalam satu kenyataan berkata kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.
Waytha Moorthy berkata pendekatan meratifikasi konvensyen-konvensyen itu selaras dengan manisfesto Pakatan Harapan (PH).
Selain ICERD, Malaysia masih belum mengesahkan perjanjian antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik, Konvensyen PBB Menentang Penyeksaan, Tidak Berperikemanusiaan dan Menjatuhkan Maruah atau Hukuman.
Turut sama adalah Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Kebudayaan, Konvensyen Antarabangsa mengenai Perlindungan Hak Asasi Semua Pekerja Migran dan Ahli Keluarga Mereka serta Konvensyen Antarabangsa bagi Perlindungan Untuk Semua daripada Kehilangan yang Dikuatkuasa
Dalam pada itu, Pengerusi Bersama MACSA Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata pihaknya berharap kerajaan memuktamadkan segera kod etika berpakaian pekerja wanita Islam di sektor swasta bagi mengelakkan diskriminasi ke atas mereka.
Rafidah berkata sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyatakan kerajaan sedang mengambil inisiatif melaksanakan perkara itu, namun sehingga kini masih belum diputuskan.
Beliau berkata pihaknya ada menerima aduan lebih daripada 100 orang dari 20 hotel di seluruh negara yang mengamalkan diskriminasi terhadap wanita Islam di tempat kerja.
“Saya telah dimaklumkan pekerja-pekerja hotel, Jabatan Tenaga Kerja masih lagi tidak melayan aduan mereka tentang kegagalan untuk mereka berhijab di tempat kerja, sedangkan isu ini sudah lama kami bawa pada Jun lagi.
“Ini merupakan pencabulan hak asasi wanita Islam secara sistematik kerana bukan saha ja kepada yang bekerja bahkan peraturan ini akan mendiskriminasikan graduan perhotelan Islam yang akan datang,” katanya sambil menambah wanita Islam dalam industri pendidikan swasta dan penerbangan juga berdepan isu yang sama.- BERNAMA