KUALA LUMPUR – Polis menahan sekumpulan lelaki warganegara China yang dipercayai sedang menjalankan operasi pusat panggilan sindiket penipuan Macau Scam di sebuah kondominium di Jalan Tun Razak di sini pada 18 Okt lepas.
Serbuan dijalankan pasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras dan Wangsa Maju pada kira-kira 5 petang.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata seramai 23 anggota sindiket berusia antara 19 tahun hingga 39 tahun yang ditahan dipercayai telah beroperasi selama dua bulan di unit kondominium itu dengan bayaran gaji sebanyak RM3,000.
“Ketika ditahan, 22 daripada mereka sedang duduk di hadapan komputer dalam premis itu untuk memperdaya mangsa di negara asal mereka dengan melakukan penipuan dalam talian,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mazlan berkata polis turut merampas 22 komputer meja, 28 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga modem internet dan wang tunai sebanyak RM3,585.
Menurut Mazlan, siasatan awal mendapati kesemua suspek telah memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sosial selepas ditawarkan pekerjaan sebagai ‘Operator Online’ di sebuah syarikat yang kononnya menjalankan aktiviti pelaburan saham di Kuala Lumpur.
“Anggota sindiket ini juga memiliki senarai mangsa yang disasarkan bersama maklumat peribadi mereka malah anggota sindiket turut mendalami latar belakang serta kelemahan mangsa sebelum dihubungi supaya berjaya diperdaya.
“Polis juga sedang giat mengesan dalang dan anggota sindiket yang masih bebas,” katanya.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan curangnya mendorong supaya harta diserahkan.
Semua yang suspek ditahan reman selama 14 hari sehingga Khamis depan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, Mazlan berkata sebanyak 376 kertas siasatan Macau Scam dibuka bermula Jan hingga Sept lepas membabitkan kerugian lebih RM43 juta berbanding hanya 242 kes pada tahun lepas melibatkan kerugian kira-kira RM8.3 juta sahaja. – BERNAMA